Wednesday, 1 January 2014

Sungai Kong-Kong Johor

Assalamualaikum...hari ni nak bawak korang ke satu lubuk terletak di selatan tanah air yang terkenal dengan species paya bakau terutamanya siakap putih,kerapu, jenahak, semilang, gemang, dan juga gerong belang. Lubuk yang dimaksudkan ialah lembah sungai Kong-Kong yang terletak dalam daerah Pasir Gudang, Johor. Lubuk ni dah lama beroperasi sebagai tumpuan kaki pancing dalam dan luar negara yang gemar bertarung dengan siakap putih. Selain lubuk ini juga menyediakan species gemang atau sembilang laut yang banyak memandangkan lembah sungai Johor yang luas dan hutan paya bakau yang masih terjaga walaupon di bahagian muara sungai Johor ini sedang pesat menjalani pembangunan.

Kawasan memancing tidak hanya tertumpu di bahagian lembah sungai Kong-Kong sahaja kerana sungai ini bercantum dengan cawangan sungai-sungai lain yang terdapat di sepanjang lembah paya bakau sungai Johor yang menganjur dari Bandar Kota Tinggi sehingga ke sungai Belungkor dan Tanjung Surat. Antara sungai yang terkenal ialah sungai Semenchu, sungai Lebab, sungai Layang, sungai Papan, selat Medana dan banyak lagi sungai yang sering dikunjungi oleh kaki-kaki pancing.

Kebiasaannya pemancing yang ingin menerokai sungai ini akan menyewa bot dengan penduduk tempatan atau boleh menginap di kelong-kelong yang menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk umpan hidup.Anda juga boleh memancing dari tebing jika anda peramah dengan penduduk tempatan kerana spot-spot memancing ditebing sungai hanya orang-orang tempatan yang mahir dengan selok-belok hutan bakau. Bot boleh didapati dengan mudah kerana banyak perkampungan nelayan di sepanjang tebing sungai Johor. Sewaan bot bermula pada harga RM50 sehari dan Harga kelong ada yang serendah RM25 seorang untuk satu malam.







Terdapat banyak cara untuk sampai ke lubuk ini antaranya ialah dengan melalui jalan lama Kota Tinggi-Desaru dan masuk ke simpang Teluk Sengat atau melalui jalan Kampung Kong-Kong yang lebih dekat dengan mengambil jalan pintas dari Pasir Gudang.

Selain dari memancing anda juga mungkin boleh merasai pengalaman mengutip siput sedut yang bersaiz XL jika anda rajin untuk meredah lumpur untuk dijadikan hidangan keluarga anda tanpa perlu beli di pasar yang sudah tentu harganya yang agak mahal dan saiz siput yang tidak puas makan. Selamat meneroka lubuk baru yang saya kongsikan dalam entry kali ini.
Wassalam...

No comments:

Post a Comment